Blogger Layouts

5.8.12

Melangkah ke menara gading!

Aku pernah sebut tentang seseorang yang berjaya membuatku menanam niat untuk belajar setaraf atau lebih tinggi darinya di laman muka buku. Namun, hasrat tersebut masih belum tercapai. Sebenarnya insan tersebut ialah cinta monyet aku dikala aku masih lagi bersekolah rendah. Memorinya cukup ringkas tapi memberi makna yang sangat mendalam.

Kerana dia, aku belajar apa itu cinta. Walaupun usiaku masih muda, namun ku sudah memahami apa itu keperitan merindui seseorang. Kerana dia, aku dapat belajar memahami debaran hati. Kerana dia, aku sentiasa bersemangat untuk ke sekolah. Kerana dia, aku tahu erti memendam perasaan cinta di hati.

Namun kerana dia juga, aku belajar apa itu keperitan dipulaukan oleh teman-teman sekolahku. Kerana dia, aku mula tahu apa itu pengorbanan demi persahabatan. Kerana dia, aku mengenal apa itu kegembiraan dalam kesakitan. Kerana dia, aku belajar menahan sabar. Kerana dia juga aku menutup pintu hatiku.

Aku tak menyangka episod cintaku bermula dari bangku sekolah rendah. Bagi orang mungkin itu hanyalah cinta monyet. Dan bagiku kini, aku juga mengaku itu hanyalah cinta monyet. Tapi cinta itu juga membawa aku ke lembah kesakitan. Walaupun aku masih kecil pada waktu itu, aku sudah belajar banyak benda.

Pengalaman itu akan ku genggam dan tak akan ku lupakan. Tapi satu perkara yang pasti, aku dah maafkan semua orang. Adakah aku berdendam? Ya! Memang aku menyimpan perasaan dendam. Kerana itu, aku belajar bersungguh-sungguh untuk mengalahkan setiap seorang yang telah menyakitkan aku di waktu dulu. Bagiku, hatiku puas andai aku dapat kalahkan mereka semua.

Dan setelah aku berjaya sampai ke menara gading, setelah aku fikir, aku telah kalahkan semua musuh-musuhku tapi aku masih belum mampu untuk mengalahkan si dia. Lelaki itu bukan setakat sudah berada di menara gading malah mempunyai ilmu yang luas dalam agama. Sungguh aku tak mampu menandinginya, sungguh ilmuku dalam agama tidak sehebatnya, tak setarafnya apatah lagi melebihinya.

Aku masih lagi tergelak bila mengenangkan pengalaman lalu. Selepas saja tamat upsr, ternyata keputusan aku lebih rendah daripada musuh-musuhku. Aku hanya mampu mendapat 4A, sdgkan mereka bergembira mendapat 5A. Masing-masing ditawarkan sekolah menengah yang bagus termasuklah lelaki itu. Sejak dari itu, aku bertekad untuk mengejarnya. Aku masih sukakn dia dan ingin menuntut di universiti yang sama dengannya kerana aku terlampau rindukan dia saat itu.

Dalam aku mengejar lelaki itu, dan dalam aku ingin mengalahkan musuhku, aku kini berjaya melanjutkan pelajaranku di peringkat ijazah perakaunan di UiTM Shah Alam. Terima kasih atas pengalaman itu, terima kasih atas cinta itu, terima kasih kerana memberikan aku semangat untuk terus belajar. Buat insan tersebut yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara, jaga diri baik-baik dan terima kasih.

P/s: aku dan dia kini dah jadi kawan. Perasaan cinta tu pun dah ilang, tapi sayang tu tetap ada. Apa-apa pun aku berterima kasih pada dia dan musuhku. Ku percaya bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. :)

No comments: